Tuesday, February 17, 2009

Karangan

Nama : ABBA (Aku Bin Bapa Aku)
Darjah : 27 Cinta
Tarikh : 17 Februari 2OO9
Tajuk : Semalam Di Esplanade

Angin sepoi-sepoi bertiup di lorong pejalan kaki di luar bangunan Esplanade pada Sabtu yang dingin. Angin sepoi-sepoi bagaikan sepasang tangan mengusap-usap rerambutku seolah-olah ia mengusap rerambut orang yang sedang dalam kesakitan. Sungguh menenteramkan jiwa dan raga. Jutaan bintang berkelipan di angkasa malam menjernihkan mindaku yang sedang berserabut memikirkan tentang diriku ini.

Tatkala aku duduk di atas bangku batu di situ, kelihatan banyak keluarga sedang mengambil angin sambil menghirup udara segar. Kanak-kanak berlari-lari. Muda-mudi sedang berbual mesra. Yang mempunyai pasangan sedang memegang tangan pasangan masing-masing. 0rang dewasa sedang memegang tangan suami atau isteri masing-masing. Para warga emas pula gembira berada di samping anak-anak dan cucu-cucu tersayang.

Aku pula hanya duduk seorang diri di situ. Tiada satu pun perkara yang berlaku di situ menarik perhatianku. Fikiranku melayang jauh ke hujung Bima Sakti demi melepaskan diri daripada dibelenggu kenangan-kenangan silamku ketika aku berkali-kali berhadapan dengan tangan yang bertepuk sebelah sahaja.

Aku termenung jauh melihat bulan mengambang sedang cuba bersembunyi di sebalik tubuh sasa bangunan-bangunan tinggi yang sedang mencakar langit di puncak dunia. Mereka juga ada teman untuk berdiri bersama tatkala siang dan malam ataupun hujan dan panas terik setiap masa.

Aku juga pernah mengalami perkara sedemikian. Teman-teman untuk menangis dan tertawa, bermain dan menonton perlawanan bola sepak, melepak minum teh tarik dan seribu satu macam lagi aktiviti yang dilakukan bersama-sama.

Namun kehidupan di dunia bagaikan air laut. Ada pasang dan ada surutnya. Begitu juga dengan kehidupan aku. Teman-teman tidak akan berada di sisi setiap masa sampai bila-bila. Terutama sekali tatkala umur sudah masuk seri 3 sama. Apabila masing-masing sudah ada komitmen sendiri. Aku faham. Aku juga mahu keadaan seperti itu. Berkeluarga. Bernikah dengan permaisuri yang bertakhta di hati.

Namun, nampaknya Tuhan belum mengkehendaki aku melangkah ke alam itu. Aku pasti ada sebabnya. Aku pasti ada rahmat di sebaliknya. Alam rumah tangga. Alam yang tersangat indah jika permaisuri yang bertakhta di hati menjadi permaisuri yang duduk di atas pelamin bersama-sama. Namun alam ini juga boleh menjadi sangat buruk disebabkan oleh perkara-perkara tertentu. Semoga Tuhan Menjauhkan aku dan teman-temanku daripada keburukan tersebut.

Sedang aku mengelamun, tiba-tiba terdengar bunyi guruh. Aku tersentak. Aku segera bangun lalu mengangkat kaki ke dalam bangunan Espalanade untuk berlindung daripada kebasahan.

(334 Perkataan)

Markah : / 1OO

0 Comments:

Post a Comment

<< Home