Monday, March 16, 2009

Lima Sekawan Di Sebuah Kampung

Di kampung Rohani Dan Jasmani, tinggal lima orang yang berkawan rapat. Mereka bernama Perasaan, Akal, Jangan Putus Asa, Pengalaman dan Bingung.

Perasaan memberitahu keempat-empat kawannya yang dia sangat mencintai Seorang Gadis Yang Dicintai. Namun Seorang Gadis Yang Dicintai tidak pernah membalas cinta Perasaan.

Jangan Putus Asa memberitahu Perasaan agar jangan menyerah kalah. Dia menambah lagi bahawa selagi Seorang Gadis Yang Dicintai belum bertunang apalagi bernikah, Perasaan masih berpeluang untuk mencuri hati Seorang Gadis Yang Dicintai. Itulah hukum dunia.

Akal membantah kata-kata Jangan Putus Asa. Dia memberitahu Perasaan bahawa dia hanya membuang masa, tenaga dan sewaktu dengannya jika dia menuruti kata-kata Jangan Putus Asa kerana bukankah dia sudah berkali-kali ditolak mentah-mentah oleh Pelbagai Gadis Yang Dicintai dan walaupun dia menurut nasihat Jangan Putus Asa sebelum itu, dia tetap tidak berjaya menawan hati Pelbagai Gadis Yang Dicintai. Malah, Pelbagai Gadis Yang Dicintai bernikah pula dengan Rival Nombor Satu.

Pengalaman amat bersetuju dengan kata-kata Akal. Namun dia tidak berkata banyak kecuali memberitahu Perasaan bahawa dia telah memberitahunya semasa Perasaan ditolak mentah-mentah oleh Pelbagai Gadis Yang Dicintai.

Kepala Perasaan sakit. Dia seperti hendak pitam. Sekarang, hanya kawannya yang bernama Bingung belum menyuarakan pendapatnya. Bingung hanya tersenyum. Dia tahu bahawa Perasaan sedang memikirkan tentang dirinya.

Perasaan hanya boleh berdu'a kepada Yang Maha Esa agar dipertemukan dengan Gadis Yang Dicintai Dan Menyintai Diri Ini. Itulah insan yang dicari selama ini tetapi belum ditemui Perasaan. Hanya dia yang boleh menghiburkan Perasaan, akan menikahi serta menemani Perasaan sepanjang hayatnya.


Hangpitung
16 Mac 2OO9
2O54 hrs

Friday, February 20, 2009

Aku Bingung

Aku bingung.

Dia berkata kepada aku dia tidak ada apa-apa hubungan dengan kawan dia.

Namun dia mesra dengan kawan dia. Dia alih duduk ke sebelah kawan dia walaupun pada mulanya (hanya seminit) dia duduk sebelah aku. Dia sudi menumpang kawan dia dan dia juga sudi ditumpangi oleh kawan dia.

Namun apabila aku berkata aku menyewa untuk menumpang dia, dia tidak sudi untuk ditumpangi. Aku sangat sedar dan tahu amat yang aku tidak boleh sesekali memaksa. Namun apakan daya. Aku tidak boleh menafikan aku sudah jatuh cinta pada dia.

Aku sudah bertanya berkali-kali pada dia tentang hubungan dia dan kawan dia. Dia pula berkali-kali menafikan dia ada hubungan istimewa dengan kawan dia. Namun aku lihat kelakuan dia tidak seperti apa yang diperkatakan oleh dia.

Walaupun ini semua berlaku, aku masih sayang dia. Patutkah aku terus berusaha memenangi hati dia? Atau tidak patut? Apakah sudah terjadi pada aku?

Aku bingung.


21 Februari 2OO9
O421hrs

Tuesday, February 17, 2009

Karangan

Nama : ABBA (Aku Bin Bapa Aku)
Darjah : 27 Cinta
Tarikh : 17 Februari 2OO9
Tajuk : Semalam Di Esplanade

Angin sepoi-sepoi bertiup di lorong pejalan kaki di luar bangunan Esplanade pada Sabtu yang dingin. Angin sepoi-sepoi bagaikan sepasang tangan mengusap-usap rerambutku seolah-olah ia mengusap rerambut orang yang sedang dalam kesakitan. Sungguh menenteramkan jiwa dan raga. Jutaan bintang berkelipan di angkasa malam menjernihkan mindaku yang sedang berserabut memikirkan tentang diriku ini.

Tatkala aku duduk di atas bangku batu di situ, kelihatan banyak keluarga sedang mengambil angin sambil menghirup udara segar. Kanak-kanak berlari-lari. Muda-mudi sedang berbual mesra. Yang mempunyai pasangan sedang memegang tangan pasangan masing-masing. 0rang dewasa sedang memegang tangan suami atau isteri masing-masing. Para warga emas pula gembira berada di samping anak-anak dan cucu-cucu tersayang.

Aku pula hanya duduk seorang diri di situ. Tiada satu pun perkara yang berlaku di situ menarik perhatianku. Fikiranku melayang jauh ke hujung Bima Sakti demi melepaskan diri daripada dibelenggu kenangan-kenangan silamku ketika aku berkali-kali berhadapan dengan tangan yang bertepuk sebelah sahaja.

Aku termenung jauh melihat bulan mengambang sedang cuba bersembunyi di sebalik tubuh sasa bangunan-bangunan tinggi yang sedang mencakar langit di puncak dunia. Mereka juga ada teman untuk berdiri bersama tatkala siang dan malam ataupun hujan dan panas terik setiap masa.

Aku juga pernah mengalami perkara sedemikian. Teman-teman untuk menangis dan tertawa, bermain dan menonton perlawanan bola sepak, melepak minum teh tarik dan seribu satu macam lagi aktiviti yang dilakukan bersama-sama.

Namun kehidupan di dunia bagaikan air laut. Ada pasang dan ada surutnya. Begitu juga dengan kehidupan aku. Teman-teman tidak akan berada di sisi setiap masa sampai bila-bila. Terutama sekali tatkala umur sudah masuk seri 3 sama. Apabila masing-masing sudah ada komitmen sendiri. Aku faham. Aku juga mahu keadaan seperti itu. Berkeluarga. Bernikah dengan permaisuri yang bertakhta di hati.

Namun, nampaknya Tuhan belum mengkehendaki aku melangkah ke alam itu. Aku pasti ada sebabnya. Aku pasti ada rahmat di sebaliknya. Alam rumah tangga. Alam yang tersangat indah jika permaisuri yang bertakhta di hati menjadi permaisuri yang duduk di atas pelamin bersama-sama. Namun alam ini juga boleh menjadi sangat buruk disebabkan oleh perkara-perkara tertentu. Semoga Tuhan Menjauhkan aku dan teman-temanku daripada keburukan tersebut.

Sedang aku mengelamun, tiba-tiba terdengar bunyi guruh. Aku tersentak. Aku segera bangun lalu mengangkat kaki ke dalam bangunan Espalanade untuk berlindung daripada kebasahan.

(334 Perkataan)

Markah : / 1OO

Sunday, February 15, 2009

Mawar Dari Kayangan

Mawar Dari Kayangan

Asalmu dari kayangan
Matamu menjerat hati dan perasaan
Lidahku beku tiada bicara
Tatkala mataku dan matamu seronok tertawa

Engkau hadir dalam sedarku
Engkau muncul tika tidurku
Engkau datang semasa diriku kegersangan
Engkau datang mengetuk pintu hatiku
Setelah berkurun lama menunggu sekuntum bunga menghiasi kamar jiwaku

Engkau laksana purnama
Yang aku dambakan lebih dua dasawarsa
Kini kembali menerangi kegelapan hidupku
Yang selama ini meratah segala kewarasan dengan kerakusan

Engkau bunga mawar berwarna ungu
Hanya satu dalam taman mindaku
Hanya wujud dalam hidupku
Untuk mengeluarkan segala
Kotoran yang mengabui neraca pertimbangan

Sudah lama hatiku dipenjara
Kini dibebaskan oleh dirimu wahai bunga mawar
Hanya satu yang perlu kutanya
Benarkah tiada peluang bagi hamba
Membalas jasa budimu wahai mawar
Membebaskan pula hatimu dari penjara kalbu
Yang membelenggumu semenjak peristiwa itu.

Sudikah engkau menghias taman kalbuku
Yang sudah lama tidak berwarna
Dengan dirimu
Mawar Dari Kayangan


Hangpitung

Wednesday, January 21, 2009

Jodoh Pertemuan Di Tangan ALLAH s.w.t.

Kata orang, setiap yang bermula akan berakhir. Setiap yang hidup pasti akan mati. Tiada yang kekal selain ALLAH s.w.t.

0rang juga berkata, ajal maut di tangan Allah. Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan Yang Maha Esa. Tiada yang boleh menghalang atau mengubah apa yang telah dirancang olehNya.

0rang juga berkata cintalah pada yang Esa. Kerana hanya CintaNyalah yang akan kekal. Dan, kerana Allah, cintalah juga kepada RasulNya, keluarga kita, saudara kita dan pasangan hidup kita.

Cinta pula tidak boleh dipaksa, sama ada secara fizikal mahupun secara halus atau tidak langsung. Dia lahir daripada perasaan ikhlas dan jujur.

Sesungguhnya aku seorang manusia yang harus diingatkan dengan keempat-empat perenggan yang tertulis di atas berkali-kali. Aku menyesal.

Mungkin kerana itulah Allah Yang Maha Berkuasa menunjukkan Kuasanya dengan Memberiku seorang insan yang hatinya mampu aku curi buat kali pertama dalam hidupku yang berusia 32.5 tahun ini. Namun, hanya untuk diambil kembali kerana aku hanya menganggapnya sebagai seorang teman biasa.

0leh itu, jika insan itu membaca warkah ini, aku sangat berterima kasih di atas segala bantuanmu kepadaku dan kesudianmu menjadi temanku. Aku juga mendu'akan semoga Allah Memberi kita jodoh yang berilmu, berakhlak mulia dan ikhlas beramal soleh serta saling cinta-menyintai, Bukan dengan paksaan dengan cara apa sekalipun. Dan, semoga kita bahagia dengan pasangan kita serta jodoh berkekalan hingga ke Jannah.

Akhir kata, janganlah kerana peristiwa hitam yang berlaku, kita sebagai Muslim, memutuskan tali silaturrahim antara kita.


Yang Benar

Insan
21 Januari 2OO9
1829hrs

Wednesday, January 14, 2009

Aku Menjadi Pencuri

Curi. Tidak pernah terlintas di benakku yang aku menjadi seorang pencuri. Sudah jutaan kali aku ingatkan murid-muridku, kenalan-kenalanku dan sesiapa sahaja yang sudi mendengar nasihatku agar jangan sesekali mencuri. Salah perbuatan itu! Tidak boleh dibuat sekali. Tidak boleh melakukannya dua kali. Kalau betul terpaksa mencuri, curilah sebanyak O kali.

Namun pada tanggal 14 Januari 2OO9, aku telah berjaya Mencuri hati seorang wanita buat pertama kali dalam hidupku yang berusia 32.5 tahun ini. Adakah Si Dia merupakan jodohku yang telah kutunggu-tunggu selama ini? Hanya ALLAH sahaja Yang Maha Mengetahui.

Wednesday, September 19, 2007

Zaman Dulu Dan Roket Bedok Interchange

Hmmm. Diam tak diam, sudah lima tahun lima bulan aku diam di estet Punggol ini. Masih di takuk lama. Mujurlah ada kedai yang dibuka dua puluh empat jam sebelah blok aku. Kalau tidak, bosan sebosan-bosannya.

Lebih-lebih lagi member yang dulu mengaku sehidup semati, entah ke mana sekarang selepas bernikah, bertunang atau ber'mat tahir'. Telefon aku, tanya khabar, nak tahu sama ada aku ni masih hidup ke tak, langsung takda. Tak payahlah nak keluar dengan aku tiap-tiap minggu. Setakat sebulan, dua bulan sekali lepak seketika. Tu semua, jangan haraplah. Takpa. Masing-masing ada akal buat keputusan sendiri. Tapi, jangan nanti bila perlukan bantuan aku, "Amacam brader? Lama tak dengar cerita. Dot dot dot." Ada makna tu telefon aku. Bak kata pepatah, 'Kawan' macam ni, siapa perlukan musuh?'

Cakap pasal 'masa dulu-dulu', semasa aku pergi ke Bedok, tanah tumpah darah aku (aku dah tinggal di sana semenjak 1978 hinggalah 2OO2), aku berjalan di 'town centre'. WAH! dah banyak berubah. Dulu hutan, sekarang dah macam bandar masa hadapan. (futuristic betoi).

Cuma satu je mercu tanda (landmark, kata omputih) yang masih melekat di sanubariku tapi sudah dicabut dari tempat sekarang. R0KET! R0KET di Pusat Pertukaran Bedok! Mana dia? Kalau dulu, geng Bedok zaman 8Oan & 9Oan, cakap je 'Jumpa kat roket'. pasti semua orang tahu. Geng yang dah pindah Tampines pun masih menyebut namanya. Tapi sekarang, di mana ya Roket tu? Dah pindah ke bulan kot? Hmmm. Entahlah.

Baiklah. Kepada para pembaca yang masih ingat R0KET, silalah beri komen tentang kenangan zaman itu. Macam mana hidup korang tidak boleh lari daripada R0KET.